MAN CITY 3 TOTTENHAM 3

Erling Haaland berdepan tindakan disiplin selepas mengkritik pengadil, Simon Hooper, selepas keputusan seri dramatik 3-3 di antara Manchester City dan Tottenham.


Penyerang City itu berang selepas dinafikan peluang untuk melanjutkan permainan di penghujung pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mendebarkan di Stadium Etihad itu, awal pagi tadi.

Haaland telah dikasari tetapi segera bangkit dan bertukar hantaran dengan Jack Grealish tetapi Hooper membatalkan gerakan itu, sebaliknya menghadiahkan sepakan percuma.


Haaland merupakan salah seorang daripada beberapa pemain City yang berang dengan tindakan pengadil itu dan dia meneruskan bantahannya selepas perlawanan itu dengan menyiarkan semula klip insiden berkenaan di X dengan komen "Wtf".



Agensi berita PA telah menghubungi Persatuan Bola Sepak berhubung perkara itu sementara pengurus The Citizen, Pep Guardiola tidak menyedari kejadian di media sosial itu ketika dia bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, namun sempat mengulas mengenai reaksi Haaland di atas padang dan pengurus itu dapat memahami kemarahan anak buahnya tersebut.

Guardiola berkata: “Ia perkara biasa. Reaksinya adalah sama seperti 10 pemain yang lain. Peraturannya ialah anda tidak boleh mengkritik pengadil mahupun pegawai keempat, jadi sepatutnya 10 pemain kami dibuang padang hari ini.

“Haaland agak kecewa. Malah, pengadil jika dia mewakili Man City hari ini, dia pasti akan kecewa dengan keputusan seperti ini."