Curtis Jones menegaskan dia tidak pernah hilang kepercayaan terhadap keupayaan Liverpool untuk bangkit selepas melalui fasa sukar musim ini selain berhajat mengekalkan tempat dalam barisan utama.

Dua gol pantas pemain tengah berusia 22 tahun itu membantu The Reds melakar prestasi terbaik untuk menang selesa 3-0, semalam, di Leicester yang diancam penyingkiran.

Jones telah diberikan kepercayaan dalam sembilan perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) di sebalik sekadar membuat dua perlawanan sebelum itu berikutan kecederaan tulang keting dan diketepikan hingga pertengahan Oktober lalu.

Dia juga \meledak tiga gol dalam empat penampilan terakhirnya -- menamatkan kemarau jaringannya selama 18 bulan -- untuk membantu The Reds menghidupkan usaha lewat melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (UCL) dengan pasukan bimbingan Jurgen Klopp itu kini di tangga kelima dan satu mata di belakang kelompok empat teratas.

Tonggak antarabangsa England B-21 tahun itu memberitahu laman sesawang rasmi kelab: “Daripada segi keyakinan, saya masih pemain yang sama. Saya sentiasa mempunyai kepercayaan kepada diri sendiri tetapi ia adalah tempoh yang sukar, saya mengalami kecederaan dan sebagainya jadi sebelum ini saya tidak benar-benar dapat mengharungi permainan sepenuhnya.

“Tetapi saya diturunkan ketika menentang Chelsea dan saya masih menyimpan baju itu.




"Saya menikmatinya, saya merendah diri dan tahu apa yang diperlukan, jadi itulah yang saya lakukan.

“Sebagai seorang pemain yang dilahirkan menerusi program akademi, saya sentiasa menjaringkan gol dan saya bukanlah mahu mengatakan bahawa saya seorang bintang, hakikatnya saya sentiasa mahu menjadi pemain akademi yang sudah matang.

“Kemudian saya diserapkan ke dalam pasukan utama dan ia agak mengejutkan apabila keseluruhan permainan berubah, jadi saya terpaksa membuat perubahan dalam keseluruhan permainan saya.

"Tetapi saya dapat menyesuaikan diri dengan baik dan saya fikir ia adalah satu aksi terbaik yang pernah saya pamerkan kebelakangan ini."