Rekod kehadiran selama 72 tahun Liverpool di Anfield telah dipecahkan oleh Taylor Swift dalam satu konsert malam tadi.

Swift mengumumkan secara langsung di atas pentas bahawa lebih 62,000 peminat hadir, sekali gus mengatasi rekod sebelumnya seramai 61,905 penonton yang dicatatkan pada 1952.

Swift berterima kasih kepada peminat yang menyambutnya di Liverpool dan gembira dengan pencapaian baru itu. Rekod itu tercapai kerana ribuan peminat membeli tiket berdiri yang menawarkan lebih banyak ruang berbanding semasa perlawanan Liverpool.

Bekas pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, turut hadir bersama isterinya, Ulla.

Ini merupakan kali pertama Swift mengadakan pertunjukan di Liverpool dan dia sangat teruja dengan sambutan peminat. Peminat setia Swift menunjukkan dedikasi mereka dengan menunggu sejak awal pagi meskipun pintu stadium hanya dibuka pada petang.




"Eras Tour" Swift telah terjual lebih 4.3 juta keping tiket dan mengangkatnya sebagai jelajah konsert yang mengutip keuntungan paling tinggi dalam sejarah dengan jualan kasar melebihi $1 bilion (RM4.7b).

Swift juga memecahkan rekod di beberapa stadium lain dan akan terus mencipta sejarah hingga pertunjukan terakhirnya pada 8 Disember.