Penyerang Liverpool, Diogo Jota hampir menjadi wira apabila menjaringkan gol kemenangan namun ia dibatalkan VAR dalam pertembungan antara Portugal dan Czechia awal pagi tadi.

Bekas penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo, berada dalam kedudukan ofsaid dalam usaha pasukan mendapatkan gol kemenangan daripada pemain Liverpool, Diogo Jota dalam aksi pembukaan Euro 2024.

Penyerang The Reds itu diketepikan daripada kesebelasan utama skuad bimbingan Roberto Martinez untuk perlawanan bertemu Czechia walaupun telah menjaringkan dua gol sebelum kejohanan bertemu Croatia dan Finland. Sebaliknya, Ronaldo turun bergandingan bersama Rafael Leao.

Bagaimanapun, dengan Portugal ketinggalan pada minit ke-63 berikutan jaringan Lukas Provod, Jota dipanggil sebagai sebahagian daripada pertukaran berganda daripada pengurusnya. Tindakan itu terbukti menghadirkan lebih banyak ancaman hingga memaksa Robin Hranac menjaringkan gol sendiri beberapa minit kemudian.

Jota terus menghantui benteng pertahanan Czechia di Leipzig dan kelihatan seolah-olah bekas penyerang Wolverhampton Wanderers itu telah memperoleh tiga mata untuk pasukannya juga pada minit ke-87 namun kedudukan Ronaldo memaksa jaringan itu dibatalkan kerana berada dalam kedudukan ofsaid.

Mujur hadir bintang meningkat naik, Francisco Conceicao, menjadi wira juara Euro 2016 itu dalam memastikan tiga mata sekaligus mengakhiri perlawanan pertama dengan kemenangan.