ATLETICO 6 SEVILLA 1

Diego Simeone kini pengurus paling kerap menggalas tanggungjawab bersama Atletico Madrid dan barisan pemainnya memberikan penghormatan yang menakjubkan atas pencapaiannya dengan menumpaskan Sevilla 6-1 di Civitas Metropolitano.


Simeone, 54, mengemudi perlawanan ke-613 sebagai pengurus Atletico untuk memecah rekod yang dipegang mendiang Luis Aragones.

Dia dihadiahkan jersi peringatan berbingkai dengan tulisan tertera "Legend, Simeone, 613" di bahagian belakang jersi sebelum sepak mula aksi LaLiga itu dengan anak lelaki Aragones dan tiga anak Simeone menyertainya penyampaian ringkas berkenaan.

Justeru, anak buahnya turun dengan semangat membara sempena penghormatan itu apabila menundukkan Sevilla dengan bergaya.

Memphis Depay menjaringkan gol berganda sebelum setengah jam usia permainan tetapi Youssef En-Nesyri mengurangkan kelebihan itu dari jarak dekat pada lewat separuh masa pertama.

Jaringan itu sebaliknya menyentak naluri Atletico untuk bertindak lebih garang apabila Antoine Griezmann memulihkan kelebihan dua gol pada awal babak kedua disusuli jaringan Yannick Carrasco untuk menjadikan kedudukan 4-1.

Alvaro Morata menambah lagi derita lawan dengan dua gol lagi -- jaringan pertamanya diledak sebaik Ivan Rakitic gagal melunaskan sepakan penalti -- bagi melengkapkan kemenangan yang cukup bermakna pada hari penting buat Simeone itu.

"Malam untuk dinikmati dan yang pastinya tidak akan Simeone lupakan," kata kapten kelab, Koke, kepada Movistar selepas perlawanan.


“Tetapi saya pasti dia sudah memikirkan tentang bertemu Girona kerana falsafahnya dalam hidup adalah sebegitu.

"Perlawanan ini sudah berlalu dan dia sentiasa melihat kepada perlawanan seterusnya."

Dia menambah: "Kita tidak boleh bayangkan Atletico Madrid tanpa Simeone. Saya telah berada di sini selama 11 tahun, dia datang dengan idea yang sangat jelas, dia mengubah mentaliti, membawa kami semua bersama memandangkan kelab ini memerlukan kestabilan, dan semoga ia akan berterusan hingga bertahun lamanya.

"Kontraknya berbaki setahun setengah lagi dan kita akan lihat apa yang berlaku kemudian."