ALMERIA 1 ATLETICO MADRID 1

Diego Simeone kecewa apabila pasukannya keciciran dua mata selepas terikat 1-1 dengan Almeria di Estadio Mediterraneo lewat malam tadi tetapi yakin pemain Atletico Madrid akan bangkit dan kembali menemui sentuhan jaringan.

Atletico membuka jaringan menerusi penyudah Angel Correa pada minit ke-18 tetapi El Bilal Toure kembali menyamakan kedudukan buat tuan rumah menjelang separuh masa.

Los Colchoneros kini hanya meraih 28 mata daripada 17 perlawanan LaLiga musim ini, di mana ia merupakan rekod terburuk mereka di peringkat itu sejak musim 2011-12 (20 mata) -- juga kali terakhir mereka gagal menamatkan musim di kedudukan empat teratas.

Berdasarkan data Opta, pasukan bimbingan Simeone itu gagal menyudahkan tiga peluang terbaik mereka, di mana dua daripadanya gagal disudahkan pemain gantian, Alvaro Morata, dan satu peluang lagi daripada percubaan Correa.

Dengan hanya menjaringkan lebih daripada satu gol dalam tiga daripada sembilan perlawanan liga terakhir mereka, Simeone mengakui kekurangan itu telah merugikan pasukannya.

"Kami perlu faham bahawa satu-satunya cara untuk mendapatkan gol adalah dengan apa yang terjadi sepanjang 25 minit di sini," kata Simeone kepada wartawan.

"Kami memiliki peluang dan mereka yang dibawa masuk membantu kami tetapi penjaga gol mereka mempamerkan aksi yang amat hebat.

"Apapun, pada penghujung perlawanan, kami ada perasaan bahawa kami kehilangan dua mata.

"Kami perlu terus berusaha dan perlu bermain seperti yang kami mahukan. Gol akan tiba. Ia sentiasa akan datang seperti gelombang.

"Kami tidak bernasib baik di depan gawang hari ini tetapi kami dapat melakukan percubaan ke gawang mereka. Ia akan tiba tidak lama lagi," katanya.