Nate Diaz meninggalkan pentas UFC dengan kemenangan terakhir kariernya selepas menewaskan Tony Ferguson melalui kuncian dalam pusingan keempat.

Pertarungan dalam acara utama di antara Diaz dan Ferguson itu merupakan penjudualan saat-saat akhir selepas lawan sebenar Diaz, Khamzat Chimaev, gagal berada dalam lingkungan berat badan yang dibenarkan bagi kategori welterwight.

Pada usia 37 tahun, Diaz memulakan pertarungan kali ini dengan cukup meyakinkan terutama menerusi siri tumbukan 'jab' ke arah Ferguson sepanjang pusingan pertama.

Ferguson juga mengalami luka di bahagian ketingnya selepas sepakannya mengenai lutut Diaz dan berdarah sepanjang pusingan pertama.

Ferguson turut menerima teguran daripada penjurunya sendiri kerana gemar memalingkan badannya untuk mengelakkan serangan dan ketika dalam situasi berbahaya.

Namun percaturannya untuk melakukan serangan ke arah kaki Diaz mula membuahkan hasil sehingga tulang keting lawannya itu kelihatan bengkak tetapi dalam pusingan ketiga, Diaz mula menghalang serangan itu dengan tampanan kaki kanannya.

Aksi dalam pusingan keempat kemudian jelas menjadi milik Diaz dengan beberapa siri serangan yang kelihatan sukar untuk diterima Ferguson.

Dalam keadaan terdesak, Ferguson memilih untuk melakukan 'takedown' tetapi dengan pengalamannya, Diaz berhasil mendapatkan posisi untuk melakukan kuncian 'guillotine' sehingga Ferguson terpaksa menyerah kalah selepas bertarung salam 2 minit dan 52 saat.