Terdapat perubahan besar dalam jadual pertarungan UFC 279, di mana Nate Diaz kini akan berdepan Tony Ferguson dalam acara utama esok.

Lawan asal Diaz, Khamzat Chimaev, hadir ke sesi timbangan dengan berat 178.5 pound, lebih 7.5 pound berbanding berat yang dibenarkan dalam acara welterwight.

Dengan Diaz enggan berdepan lawan dengan berat badan yang tidak sepatutnya, pertarungan itu terpaksa dibatalkan.

"Berdasarkan saranan daripada pasukan perubatan UFC, Chimaev dinasihatkan untuk berhenti daripada mengurangkan berat badannya disebabkan masalah pengurusan berat badan.

"Chimaev kini akan beralih ke pertarungan catchweight 180 lbs dan akan bertemu Kevin Holland dalam aksi lima pusingan pertarungan bersama acara berkenaan," kata satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

Li Jingliang dan Daniel Rodriguez, yang masing-masing sepatutnya bertemu Ferguson dan Holland, kini akan bertemu sesama sendiri dalam acara catchweight.