Majlis Sukan Negara (MSN) telah menggariskan beberapa faktor yang menjadi antara penyumbang kepada kegagalan kontinjen Malaysia, yang 'kehilangan' 12 emas daripada sembilan jenis sukan dalam Sukan SEA Kemboja 2023 baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, berkata 12 emas berkenaan membabitkan sukan akuatik-renang, badminton, berbasikal bukit, hoki dalam dewan, kriket, judo, jujitsu, kun khmer dan sepak takraw.

"Renang kita letak sasaran tiga emas tetapi hanya meraih satu disebabkan kita terlampau bergantung kepada atlet senior yang sudah beraksi tiga hingga empat edisi Sukan SEA.

"Jadi, kita harus mendedahkan ramai atlet baharu. Kebergantungan kepada sesetengah atlet untuk menyertai banyak disiplin juga membuatkan mereka keletihan," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Jalil semalam.

Jefri berkata pihaknya turut menyedari mengenai jurang besar antara barisan pemain muda negara dengan Indonesia dalam sukan badminton.

"Kami cuba buktikan bakat baru yang diketengahkan mampu bersaing dan bagi acara individu, ada pemain kita yang dapat mengejutkan pemain Indonesia," tambahnyanya.

Jefri menambah pingat emas hoki dalam dewan lelaki, yang sepatutnya mampu diraih, terlepas ke tangan Indonesia - berpunca akibat kelemahan taktikal permainan.

"Bagi kriket dan judo, kita sedia maklum bahawa atlet kita berada pada tahap terbaik namun pasukan tuan rumah menggunakan atlet naturalisasi.

"Kriket misalnya, kita ranking pertama dan hanya perlu berwaspada dengan Thailand, namun kita tidak mendapat maklumat bahawa tuan rumah menggunakan atlet naturalisasi.

"Ia menjejaskan peluang kita, sedangkan tuan rumah menggunakan pemain yang bagus (berkualiti) dari Pakistan dan India. Ia bukan daripada kesilapan pasukan kita sendiri," ujarnya lagi.

Kredit: Sinar Harian