Majlis Sukan Negara (MSN) tidak pernah berkompromi dan melindungi mana-mana jurulatih, atlet ataupun pegawai yang terbabit dengan isu salah laku dalam program latihan MSN dan bersedia mengambil tindakan tegas, termasuk penamatan kontrak dengan serta merta jika ada yang didapati bersalah.

MSN, menerusi Jawatankuasa Salah Laku Dalam Sukan, ketika ini juga sedang menjalankan siasatan dakwaan salah laku seksual seorang jurulatih renang para terhadap atlet di bawah jagaannya, yang dilaporkan di media massa.

Pegawai pelindung sukan yang diberi kuasa di bawah Kod Sukan Selamat juga telah mengambil langkah-langkah perlu untuk melaksanakan siasatan berkenaan.

Dakwaan salah laku itu diterima MSN pada minggu lalu dan jawatankuasanya telah memulakan siasatan dengan segera termasuk menyiasat pihak-pihak yang berkaitan.

Kerjasama penuh juga diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang telah membuka kertas siasatan, termasuk mencari cara tindakan yang mesra dan melindungi privasi atlet terlibat.

Sepanjang tempoh siasatan, MSN memohon kerjasama pihak media dan masyarakat umum supaya tidak mencetuskan sebarang spekulasi ataupun menyebarkan maklumat tidak tepat bagi menjaga kebajikan atlet selain mengelak daripada persepsi negatif yang mampu menjejaskan proses siasatan.

Perlu juga ditegaskan bahawa MSN tidak pernah menerima laporan ataupun aduan daripada mana-mana atlet para mengenai salah laku seksual oleh jurulatih sebelum aduan terbaru itu dan dakwaan bahawa MSN cuba menutup atau tidak mengendahkan laporan yang pernah dibuat adalah tidak berasas sama sekali.

MSN menjulang dan menguatkuasakan semua peraturan dalam Kod Sukan Selamat dan sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran selamat kepada semua atlet yang mengikuti program latihan kendalian MSN.

Langkah-langkah komprehensif menjaga keselamatan dan kebajikan atlet-atlet para di bawah Program MSN turut dititik beratkan, termasuk mewajibkan pegawai pengiring untuk atlet-atlet yang bertanding di pelbagai kejohanan di luar negara bermula tahun lalu.