Kontinjen negara mampu meraih lebih banyak pingat emas sekiranya jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, dapat beraksi dan sukan boling tenpin dan silat dipertandingkan dalam Sukan Asia Hangzhou 2022.

Bagaimanapun, Chef-de-mission (CDM) Kontinjen Negara, Datuk Chong Kim Fatt, tetap bersyukur atas pencapaian 32 pingat keseluruhan yang dianggap boleh dibanggakan rakyat Malaysia.

Sebagai rekod, kontinjen negara menamatkan kempen di bumi China dengan kilauan enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa untuk menduduki tempat ke-14 keseluruhan.

Ia juga menyaksikan kontinjen negara melangkaui sasaran 27 pingat tanpa mengira warna yang ditetapkan sebelum temasya itu.

"Secara keseluruhannya, memang kita sudah mencapai sasaran dengan bagus," kata Kim Fatt dalam sidang media seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Zulehelmi Zainal Azam.

"Kerana jika dilihat, ini bukannya mahu memberikan alasan tetapi sekiranya Datuk Azizul tidak cedera, dia sememangnya berada dalam senarai pingat emas.

"Tetapi kontinjen negara tidak bersedih atau takut. Kita masih meneruskannya sehingga ke akhir berbekalkan semangat yang tinggi," katanya.

Turut bersependapat adalah Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

"Paling dirasai adalah ketiadaan Datuk Azizul kerana kita kehilangan peluang untuk meraih dua pingat.

"Atlet kita telah berjaya menunjukkan bahawa tanpa boling tenpin, tanpa pencak silat, tanpa Datuk Azizul, mereka masih berjaya membawa pulang 32 pingat keseluruhan dan mengatasi sasaran 27 pingat.

"Kita juga meraih enam pingat emas dan hanya kekurangan satu berbanding edisi di Jakarta-Palembang pada 2018.

"Kalau kita lihat dalam edisi di Hangzhou kali ini, 13 jenis sukan menyumbangkan pingat berbanding 12 di Jakarta-Palembang dan 10 di Incheon (2014), jadi ia menunjukkan satu perkembangan yang baik," katanya.