Kejayaan badang negara, Aniq Kasdan, melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan dilihat sebagai satu kebangkitan buat kem angkat berat negara selepas ketiadaan wakil dalam edisi di Tokyo 2020.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menasihati atlet kategori 61 kilogram itu agar tidak berada dalam zon selesa, sama ada dalam sesi latihan atau sewaktu beraksi di atas gelanggang.

Ini susulan kenyataan Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, yang kecewa dengan angkatan dilakukan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham itu, yang gagal menepati angkatan keseluruhan 300 kilogram dalam Kejohanan IWF di Thailand pada Selasa lalu.

"Saya menasihati mereka agar tidak putus asa kerana apabila ada keputusan seperti ini sebelum kejohanan sebenar, mereka boleh memperbaiki diri dan jangan berada dalam zon selesa ," kata Hannah kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.

"Itu lebih penting. Jangan rasa sudah layak tidak apa.

"Saya mahu mereka terus berusaha tetapi jangan cederakan diri.

"Itu lebih penting. Mereka perlu bebas kecederaan untuk memastikan peluang mereka lebih cerah," katanya.