Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyalurkan RM5 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam turut disambut baik oleh persatuan-persatuan sukan Malaysia.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, dan Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad, tumpang gembira dengan peruntukkan yang diraih badan induk itu,
namun terselit sedikit harapan agar perhatian sama rata dapat diberikan buat persatuan sukan lain dalam misi memantapkan industri sukan nasional.

"PABM mengucapkan tahniah kepada FAM kerana menyemarakkan semula sukan di Malaysia terutama dalam bola sepak. Kami turut berbangga tapi berharap dana tersebut dipanjangkan kepada sukan-sukan lain.

"Angkat berat akan melangkah ke Sukan Olimpik dan ia tentu memberi makna yang besar kepada negara.

"Kami tidak perlukan RM5j tetapi setakat RM300,000 hingga RM500,000 setahun untuk memastikan bahawa pembangunan itu berlaku.





"Kami tidak mahu istilah yang kaya bertambah kaya, yang miskin terus papa kedana maka perhatian perlu diberikan kepada suka-sukan lain kerana juga memberi jasa kepada negara," kata Ayub di Nadi Weekend sebentar tadi.

Dalam masa sama, Nur Azmi memahami konteks sukan bola sepak yang memerlukan sumber kewangan yang besar bagi melancarkan perjuangan Harimau Malaya.

"Kita kena positif, ini satu penghargaan daripada kerajaan.

"RM5j bukan (satu bentuk) ganjaran kerana dapat ikat Korea, tapi kita kena bangga layak ke Piala Asia selepas 43 tahun.

"Dana ini untuk persiapan pasukan yang akan mengharungi peringkat kelayakan seperti (Piala Dunia) bertemu pasukan seperti Oman dan Taiwan.

"Ini semua melibatkan kos yang tinggi," katanya.