Hari yang cukup dramatik buat Aniq Kasdan, di sebalik kejayaannya cemerlang mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris, penampilan terbarunya dibelenggu dengan kejatuhan prestasinya semasa dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, hari ini.

Aniq memulakan dua angkatan pertama snatch kategori 61kg dengan kegagalan dalam angkatan 125kg dan situasi ini menerbitkan kegusaran buat Aniq mencipta rekod terbaru.

Mujur, percubaan ketiganya dengan bebanan 125kg untuk mengesahkan mata kelayakan sebelum merekodkan 165kg clean and jerk.

Aniq merekodkan 290kg jumlah angkatan dengan pencabar lain gagal mengugat pencapaian terbaiknya iaitu 296kg untuk secara rasminya, Aniq muncul atlet negara terbaru yang melayakkan diri ke Paris.





Sementara itu, rakan sepelatih Aniq, Aznil Bidin melalui fasa kurang memberangsangkan apabila sekadar mengangkat bebanan 125kg snatch sementara clean and jerk, 159kg.

Aznil terpaksa akur gagal menyaingi reputasi Aniq dan mengucapkan selamat tinggal Paris kerana peraturan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) hanya seorang wakil bagi setiap negara di ranking 10 terbaik layak ke pusingan akhir.

"Sebelum ini saya memang sudah jangka dia layak cuma saya kecewa dengan prestasinya di Phuket kerana tiada peningkatan.

"Pada kebiasaannya sekiranya kami membuat latihan di luar negara pasti akan mencatatkan keputusan yang teruk maka lebih baik berlatih di Rompin sahaja.




"Saya lihat keputusan tadi amat mengujakan bagaimana atlet dari Amerika Syarikat dahulu di bawah tetapi kini dia buat rekod dunia.




"Bagi saya Aniq mampu lakukan tetapi mungkin faktor puasa tetapi itu bukan alasan kerana jika faktor puasa saya juga berpuasa.

"Mungkin kita kena ubah corak latihannya dengan lebih teliti lagi" kata Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, di Nadi Arena sebentar tadi.