Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan, menganggap satu kerugian sekiranya temasya Sukan Komanwel 2026 tidak dapat diadakan di Malaysia berikutan dia merupakan pemenang pingat emas pada edisi lalu.

Bagaimanapun, memandangkan kemelut ekonomi yang sedang dihadapi negara masih belum pulih sepenuhnya, dia menyeru semua pihak untuk menerima keputusan muktamad yang sudah diputuskan oleh pihak kerajaan Malaysia dengan hati yang terbuka.

Ketika ini dia sedang berkelana ke Aceh, Indonesia selama tiga minggu bagi persiapan menjelang kejohanan Piala Dunia 2024 yang bakal berlangsung di Phuket, Thailand untuk mengutip mata untuk ke Paris 2024.

"Penolakan untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026 itu saya terima memandangkan ekonomi negara tidak dalam keadaan yang baik tetapi jika menjadi tuan rumah saya boleh beraksi di hadapan rakyat Malaysia.

"Malaysia antara pencabar utama yang kuat dalam sukan angkat berat berbanding negara-negara lain dalam Sukan Komanwel.

"Latihan dan persiapan saya di Indonesia berjalan dengan lancar serta semakin positif bagi persediaan untuk menghadapi cabaran dalam melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris nanti." katanya.