Penyertaan kontinjen negara ke Sukan Asia Hangzhou yang bermula 23 September depan sah menyaksikan jumlah lebih rendah berbanding edisi 2018 di Jakarta-Palembang tatkala sasaran pingat emas dijangka diumumkan bulan depan.

Ketua kontinjen negara (CDM) ke Sukan Asia, Datuk Chong Kim Fatt, berkata seramai 293 atlet negara bakal mengibarkan cabaran negara ke Hangzhou dengan keseluruhannya membabitkan 23 jenis sukan.

Pengurangan itu berlaku selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memperketatkan proses dan syarat kelayakan penyertaan atlet negara ke temasya empat tahun sekali itu.

Jelas ia jumlah yang lebih kecil jika dibandingkan edisi 2018 yang menyaksikan Malaysia menghantar sejumlah 447 atlet yang juga penglibatan terbesar Malaysia ke Sukan Asia.

"Kali ini jumlah atlet kategori A adalah 117, kategori B 176 orang (sementara) pegawai kategori A terdiri daripada 60 orang dan kategori 48 orang dengan jumlah keseluruhan kontinjen negara terdiri daripada 401 orang, katanya.


Kim Fatt yang mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan pertama Sukan Asia Hangzhou di MOM hari ini mengesahkan sasaran pingat akan dibuat selepas bengkel penetapan sasaran pingat kontinjen negara pada 22 Ogos ini.

Sementara itu, Kim Fatt yang juga presiden Persekutuan Wusyu Malaysia memaklumkan atlet negara yang memenangi pingat emas dalam Sukan Asia akan pulang ke tanah air dengan penerbangan kelas pertama sebagai insentif tambahan.

"Kami bekerjasama dengan Eastern Airlines demi keselesaan atlet. Mereka yang memenangi pingat emas akan dinaiktaraf ke penerbangan kelas pertama tanpa kos," katanya.