Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib, mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami Datuk Azizulhasni Awang ketika menjalani sesi latihan kelmarin tidaklah bersifat bahaya mahupun kritikal.

Malah, insiden di Velodrom Nasional di Nilai itu sedikit pun menjejaskan semangat pemenang dua pingat emas Sukan Asia itu dan dia disahkan masih cergas dalam pemburuan pingat di Hangzhou yang bermula Sabtu depan.

"Berbasikal memang sukan berisiko tinggi untuk tergelincir dan terjatuh.

"Nasib baik dalam keadaan ini ia bukanlah jatuh yang kritikal cuma luka (melibatkan) kulit. Dia akan jalani pemulihan yang baik sebelum bertanding.




"Namun, ISN (Institut Sukan Negara) akan bersama esok dan kami mungkin boleh lihat perincian keadaannya.

"Setakat ini, kami dapat maklumat bahawa ia bukanlah isu besar. Dia masih bersemangat untuk membawa medal," katanya dalam Majlis Flag-Off Kontinjen Negara ke Sukan Asia 2022 Hangzhou yang disempurnakan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia Datuk Chong Kim Fatt di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.