Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, mengakui tidak panik dengan prestasi semasa Datuk Azizulhasni Awang di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia Glasgow 2023 yang berlangsung awal Ogos lalu.

Norza yang juga pengerusi bersama Program 'Road to Gold' percaya atlet berpengalaman seperti Azizulhasni akan segera bangkit dan memperbaiki segala kelemahan yang ada untuk hadapi kejohanan utama akan datang iaitu Sukan Asia Hangzhou 2023 dan Sukan Olimpik Paris 2024.

Norza dalam perkembangan sama turut menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad hoki lelaki negara yang muncul naib juara Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2023 Ahad lalu.

"Kami memahami setiap atlet menghadapi prestasi turun naik dan kami sentiasa berada di belakang Azizulhasni. Dia seorang atlet yang profesional dan masih lagi menjadi harapan serta inspirasi sukan negara di peringkat tertinggi," kata Norza.

Turut senada, Chef De Misssion Sukan Asia 2023, Datuk Chong Kim Fatt, yang menganggap atlet berjiwa besar seperti 'The Pocket Rocketman' tidak akan pernah menyerah kalah dan sentiasa akan membuktikan kredibiltinya selaku jaguh berbasikal trek negara.

Dan ketika ditanya mengenai persediaan kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2023, Kim Fatt memaklumkan segalanya kini sudah berada di fasa terakhir persiapan menjelang temasya yang akan membuka tirai pada 23 September depan.

"Mereka adalah atlet yang berpengalaman. Mereka memiliki semangat untuk bangkit dan sentiasa meletakkan sasaran untuk memberikan yang terbaik buat negara," kata Kim Fatt.