Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih boleh buat pusingan U berhubung keputusan tidak menghantar skuad B-23 negara ke Sukan Asia Hangzhou 2023, September depan.

Difahamkan tarikh akhir pengesahan penyertaan setiap jenis sukan bagi semua kontinjen negara yang bertanding adalah pada Jun depan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, menghormati keputusan badan induk bola sepak negara itu tatkala difahamkan sukan berkenaan diletakkan dalam kategori B.

"Setiap pasukan mempunyai perancangan tersendiri, baik untuk jangka masa sederhana mahupun panjang dan pasukan yang mahu dihantar.

"Lagipun penyenaraian sukan masih awal, MOM pun masih belum berbincang dengan persatuan-persatuan.





"Contohnya sempena Sukan SEA Kemboja, kami berjumpa 29 persatuan sukan. Daripada situ kami akan buat keputusan bersama-sama.

"Buat masa ini masih di peringkat persatuan dan kami hormat keputusan tersebut," kata dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MOM Ke-204, kelmarin.

Terdahulu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, menjelaskan keputusan itu dibuat susulan skuad muda negara perlu memberi keutamaan kepada kelayakan Piala Asia B-23 pada bulan yang sama.

Skuad yang dibimbing E. Elavarasan itu juga perlu fokus untuk menghadapi dua lagi kejohanan iaitu Sukan SEA Kemboja dan Piala AFF.