Sharon Koh yang merupakan antara atlet senior boling wanita negara berharap prestasi dalam Terbuka Macau dari 18-24 Jun ini mampu membantu menempatkan dirinya dalam senarai akhir skuad Sukan SEA negara.

Biarpun menjadi antara atlet senior dalam skuad negara, Sharon tidak kecewa tidak tersenarai ke Kejohanan Jelajah PWB di Amerika Syarikat, hujung bulan lalu.

Malah, dia menganggap peluangnya ke Sukan SEA masih terbuka kerana masih ada ruang membuktikan sesuatu di Macau.

"Setiap orang mempunyai peluang di mana semua mencari kedudukan dalam Sukan SEA. Jadi, saya hanya mahu memberikan yang terbaik dalam Terbuka Macau. Sekurang-kurangnya saya berjuang untuk menunjukkan bahawa saya masih mampu bersama skuad," katanya.

Sharon yang bersama skuad kebangsaan sejak 2006, berharap mampu mengulangi kejayaan sama ketika menjuarai Terbuka Macau pada 2010.

Menyentuh tahap kecederaan bahunya, dia yang pernah menjalani pembedahan pada 2010 mengakui tidak lagi berdepan masalah sama.

Cuma dia tidak menafikan perlu lebih berhati-hati agar kecederaan lama itu tidak berulang.

"Ya pembedahan bahu pada 2010, selepas itu saya melakukan sesi pemulihan penuh dan dari situ saya pulih 100 peratus, tiada masalah lagi di bahagian bahu saya. Kini tumpuan terarah kepada teknik," tambahnya.