Misi pulih imej di pentas Sukan SEA tampak sukar buat kontinjen negara apabila berdepan risiko hilang lubuk emas di temasya Thailand tahun depan.

Majlis Olimpik Malaysia semalam mengesahkan karate dan wushu adalah antara sukan yang tidak dimasukkan dalam senarai awal untuk edisi kali ini.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) membabitkan 11 negara Sabtu lalu. Selain dua sukan berkenaan, boling padang dan angkat berat juga tiada dalam senarai awal untuk dipertandingkan di temasya kali ini.

Setiap negara diberi tempoh sehingga hujung bulan depan untuk membuat rayuan berhubung perkara berkenaan. Pada Sukan SEA Kemboja 2023, kontinjen negara berdepan aksi terburuk dengan menduduki tempat ketujuh dengan 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa, dan gagal mencapai sasaran 40 emas.

Ia adalah pencapaian terburuk Malaysia di pentas sukan SEA dan pungutan emas paling rendah dalam tempoh 20 tahun sejak temasya Sukan SEA 2003 di Hanoi, Vietnam.

Karate menyumbang empat pingat emas, dua perak dan empat gangsa, dan wushu mencatatkan 2-2-6, manakala angkat berat dan ju-jitsu masing-masing meraih satu gangsa.

Boling padang, satu lagi prospek kukuh untuk Malaysia, kali terakhir dihoskan pada Sukan SEA 2019, apabila skuad negara menyapu bersih empat emas dan dua gangsa daripada enam acara yang dipertandingkan.
Namun, ketika temasya thailand jadi platform terbaik untuk menebus kekecewaan itu situasi berbeza pula melanda kem negara.





“Di bawah Piagam dan Peraturan SEAGF, setiap Jawatankuasa Olimpik Kebangsaa (NOC) hos berhak mencadangkan senarai sukan awal dari pelbagai kategori, tertakluk kepada kelulusan akhir oleh Majlis SEAGF selepas mempertimbangkan rayuan NOC yang lain.

“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sedang berusaha untuk mengemukakan rayuan untuk sukan tambahan kepada SEAGF sebelum tarikh akhir," kata Presiden MOM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria sebelum dilantik sebagai Naib Pengerusi Kedua Eksekutif Jawatankuasa Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) berdasarkan NOC Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

Seperti yang ditetapkan dalam Perkara 34.1.6 Piagam dan Peraturan SEAGF, senarai akhir sukan dan disiplin untuk kelulusan Majlis SEAGF hendaklah disampaikan oleh NOC hos kepada semua NOC Ahli SEAGF tidak kurang daripada lima belas (15) bulan sebelum tarikh Majlis Pembukaan Sukan SEA selaku tuan rumah.

Sukan SEA ke-33 Thailand 2025 dijadualkan berlangsung dari 9 ke 20 Disember 2025, NOC Thailand mempunyai masa sehingga 9 September 2024 untuk memuktamadkan sukan dan disiplin untuk dipertandingkan dalam temasya tersebut.