Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan keputusan kerajaan menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

Keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setelah mengambil kira komitmen penganjuran bersama oleh tiga negeri lain.

Sebelum ini, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang telah menyatakan kesediaan untuk menggunakan peruntukan masing-masing bagi menjadi penganjur bersama dengan Kuala Lumpur.

"Jemaah Menteri turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Sarawak dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) XXI yang telah berjaya mengendalikan penganjuran temasya yang berakhir pada 24 Ogos lalu dengan jayanya," tambah kenyataan itu.