Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFA), Datuk Chong Kim Fatt, menganggap tiada perubahan peruntukan untuk sukan ini bagi kempen tahun 2025 sebagai tidak wajar.

Kim Fatt tidak berselindung tentang rasa tidak senang dengan perkhabaran Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis sukan negara pada Selasa, lantas dia sedia mengambil langkah seterusnya dengan membentangkan sendiri situasi sukan itu kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Febuari tahun hadapan.

Wushu menerima kurang RM2 juta daripada peruntukan kerajaan bagi menampung kos gaji jurulatih, kem latihan luar negara dan kos kejohanan.

"Setiap tahun tidak sampai RM2j tetapi menuju Sukan SEA dan Sukan Asia, semua sukan mahu menyumbangkan pingat.

"Ini satu situasi yang sukar. Kalau boleh tambah nilainya misalnya RM500,000 lagi, sudah tentu taraf wushu mampu diangkat.

"Kami giat menggilap teknik atlet. Dalam tempoh setahun mereka akan dihantar menjalani dua kem latihan di luar negara, malangnya setiap satunya diadakan selama 14 hari sahaja.





"Kalau 14 hari bagi saya itu pergi melancong bukannya berlatih," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Kim Fatt turut mengambil pendekatan segera menegur susun atur acara sukan wushu menjelang Sukan SEA Thailand tahun hadapan yang dianggapnya 'syok sendiri'.

Berdasarkan acara dan jumlah pingat yang dipertandingkan, Kim Fatt menganggap isu itu perlu diberikan perhatian segera.

Dia sudah pun menghantar surat kepada penganjur, Thailand, berhubung isu ini bulan lalu tetapi tiada sebarang maklum balas.

"Atlet kita mudah ditimpa kecederaan jika ia dilangsung selama tiga hari malah acara (dipertandingkan) juga salah.

"Pihak jawatankuasa penganjur memang syok sendiri.

"Kami sudah berikan peraturan dan jadualnya sebab ketika Sukan SEA Kemboja, saya yang sediakannya untuk sukan wushu.

"Penganjur boleh kurangkan medal tapi tak boleh ubah jadual. Mereka buat macam main Lego," katanya.