Pemain golf wanita profesional negara, Natasha Oon, gembira dengan penampilannya dalam saingan hari pertama Kejohanan Golf LPGA Maybank 2023 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) hari ini.

Ini selepas dia menamatkan pusingan pertama di tangga ke-40 dan terikat dengan 14 peserta lain.

Natasha akui beraksi di tempat sendiri banyak memberikan dorongan positif untuk dia melakukan pukulan terbaik.

Dengan mencatatkan 70 pukulan dua di bawah par, Natasha berharap dapat beraksi dengan lebih baik dalam pusingan kedua esok.

"Saya bermula dengan amat baik, di mana saya mendapat empat birdie dalam sembilan lubang pertama tetapi sembilan lubang kedua tidak begitu baik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Sembilan lubang kedua tidak seperti yang saya harapkan tetapi bermain di negara sendiri dan mendapat banyak sokongan membuatkan saya rasa seperti selebriti.

"Jadi, ia merupakan hari yang baik buat saya," katanya.