Jordan Pickford menggesa England untuk menikmati tekanan menjadi pasukan pilihan dalam Euro 2024.

England layak ke final Euro 2020 sebelum tewas dalam penentuan sepakan penalti kepada Itali.

Selain itu, mereka turut layak ke separuh akhir dan suku akhir dua edisi Piala Dunia terakhir di bawah bimbingan Gareth Southgate.

Berdasarkan data komputer super Opta, England antara pasukan pilihan untuk memenangi Euro 2024 buat kali pertama dengan 19.9 peratus peluang, sedikit di hadapan Perancis dengan 19.1 peratus.

Pickford yakin dengan kemampuan pasukannya untuk memenuhi jangkaan yang diletakkan di bahu mereka sebagai pasukan pilihan dalam kejohanan itu.

"Selain daripada (Piala Dunia) Russia 2018, di mana tiada tekanan buat kami, untuk menjadi pasukan atasan dan pasukan elit seperti ini, anda perlu memiliki tekanan," kata penjaga gol England itu.

"Anda perlu membiasakan diri dengannya. Untuk menjadi salah satu pasukan pilihan, anda perlu menikmati tekanan itu.

"Saya fikir kami memiliki keseimbangan yang tepat (di antara pemain berpengalaman dan remaja).

"Dengan pengalaman, kami boleh membantu pemain yang lebih muda, yang masih belum banyak penampilan tetapi semua orang memiliki pengalaman yang berbeza menerusi karier bola sepak tersendiri.

"Sesetengah pemain muda tidak pernah beraksi dalam kejohanan utama di peringkat remaja dan anda perlu berjauhan dari rumah anda buat seketika. Semua orang pernah melalui pengalaman itu.

"Pemain senior pula, kami perlu membantu pemain muda ini seandainya mereka memerlukan bantuan tetapi sebagai pemain utama, mereka tidak memerlukan banyak pertolongan," katanya.