Penganjuran Liga Wanita Nasional (LWN) akan menjadi wadah buat pemain bola sepak wanita dalam negara untuk memperoleh minit permainan terbaik.

Musim baru LWN akan dilancarkan pada 27 Jun ini dengan sepak mulanya pada 6 Julai depan.

Musim ini juga menyaksikan akan adanya format 'home-away' yang mirip dengan Liga Super Malaysia, sekali gus memberikan pemain wanita yang terlibat minit permainan terbaik selain dapat mencungkil bakat bagi mewakili skuad wanita kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob, ketika menjadi tetamu Nadi Weekend sebentar tadi, berkata: "Perbezaannya kali ini bukan sahaja jumlah pasukan tetapi ia juga akan dimainkan secara home-away.

"Ia satu musim lengkap, kami mahu jadikannya seperti MFL (Liga Bolasepak Malaysia) atau Liga Super.

"Ia kali pertama dapat dilakukan selepas tiga tahun LWN.

"Lapan pasukan, 56 perlawanan di 15 venue dan akan berlangsung selama 14 minggu.

"Ini memberi ruang kepada pasukan dan pemain untuk bermain dengan minit yang lebih panjang dan lebih kompetitif," katanya.