Penyerang import Kedah Darul Aman, Ebenezer Assifuah, enggan menganggap dirinya sebagai wira kejayaan Hijau Kuning menewaskan Penang 1-0 dalam aksi 'Derby Utara' Liga Super di Stadium Bandaraya semalam.

Sebaliknya, pemain kelahiran Ghana itu berkata ia merupakan hasil kerja keras semua pihak dalam pasukan itu biarpun jaringan tunggalnya pada lewat permainan memastikan kemenangan kedua Sang Kenari daripada empat perlawanan musim ini.

Assifuah turut mengakui tidak berdepan masalah untuk menuruti segala permintaan ketua jurulatih, Nafuzi Zain, dalam setiap perlawanan kerana pengendali itu lebih arif dalam mencorakkan taktikal pasukan.

"Prestasinya baik kerana kami kekal bersama dan memenanginya bersama," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Kami menjalani persiapan yang benar-benar baik menuju ke perlawanan ini kerana kami tewas dalam dua perlawanan terakhir.

"Jadi, sebelum melalui perlawanan ini, kami amat berkeazaman dan motivasinya juga cukup tinggi.

"Tiga mata ini amat bagus untuk keyakinan kami dan saya amat gembira dengannya.

"Nafuzi merupakan pemimpin pasukan ini, saya hanya menuruti arahannya. Jika dia mahu saya berada dalam kesebelasan utama, saya akan berada di sana. Jika dia mahu saya bermula dari bangku pemain simpanan, saya tiada masalah mengenainya.

"Kerana dia jurulatih, dia yang akan memberikan arahan dan saya hanya menuruti arahannya," katanya.