SELANGOR 2 PERAK 1

Selangor menyekat kebangkitan Perak untuk meraih kemenangan 2-1 biarpun terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam perlawanan Liga Super padat aksi dan drama di Petaling Jaya sebentar tadi.

Dua gol daripada penyerang utama, Ronnie Fernandez, sudah cukup untuk memastikan tiga mata buat tuan rumah biarpun Azfar Fikri Azhar berhasil merapatkan kedudukan buat Perak menuju ke penghujung permainan

The Red Giants menguasai sebahagian besar aksi sepanjang 45 pertama dan jaringan yang dicari-cari mereka hadir pada minit ke-24.

Menerusi satu situasi sepakan penjuru, ketua pasukan, Safuwan Baharudin, menanduk tajam bola menuju ke arah kaki Ronnie untuk mudah ditolak masuk penyerang kelahiran Chile itu.

Ronnie, 33, kemudian menggandakan jaringannya menerusi sepakan penalti pada minit ke-40 selepas video bantuan pengadil (VAR) mendapati Tommy Mawat Bada mengasari Alvin Fortes.

Situasi itu menimbulkan kemarahan penolong jurulatih Perak, Shahrulnizam Mustapa, sehingga dilayangkan kad merah kerana melakukan protes.

Ketika Selangor kelihatan akan melebarkan jurang dalam babak kedua, perkara sebaliknya berlaku apabila The Bos Gaurus kelihatan lebih garang memburu jaringan.

Suhu perlawanan itu memuncak apabila pengadil, Zuhaidi Dzulkifli, melakukan semakan VAR sebelum melayangkan kad merah kepada tonggak tengah Selangor, Alex Agyarkwa, biarpun pemain itu kelihatan melakukan hantaran sebelum menerima terjahan Wan Zack Haikal Wan Noor.

Kelebihan seorang pemain meningkatkan semangat Perak dan hasil lintangan tinggi Afif Ashraf Zabawi, Azfar Fikri menanduk masuk gol tunggal pelawat pada minit ke-78.

The Bos Gaurus seharusnya menyalahkan diri mereka sendiri apabila gagal menemui jaringan penyamaan biarpun memiliki deretan peluang di depan gawang, termasuk sepanjang tujuh minit masa kecederaan.