Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, tampak mengakui temasya berkenaan masih relevan biarpun banyak sukan utama negara tidak dipertandingkan di Glasgow 2026.

Hannah menegaskan penyertaan kontinjen negara di temasya itu turut melibatkan sukan lain sekaligus berasakan Sukan Komanwel 2026 tidak wajar dipinggirkan.

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) dan tuan rumah 2026 Glasgow memutuskan hanya 10 sukan bakal dipertandingkan.

Daripada jumlah itu, empat sukan yang menjadi prospek pingat buat kontinjen negara tidak tersenarai iaitu badminton, terjun, hoki dan skuasy.

Situasi itu tampak beri tamparan kepada Malaysia tatkala langkah itu diambil tuan rumah atas faktor kos selepas Victoria menarik diri tahun lalu.

“Jangkaan awal Malaysia hilang 16 pingat dalam sukan yang digugurkan. Kita hormati keputusan penganjur.

“Namun, kita masih ada sukan potensi pingat seperti angkat berat dan boling padang, kita ada kekuatan,” katanya menurut Bernama pada sidang media Majlis Perasmian Program ISNEXT 2024 di Institut Sukan Negara (ISN), Kuala Lumpur.

ISN melakukan kolaborasi strategik bagi menyediakan pusat penyediaan perkhidmatan, penyelidikan dan kepakaran di peringakat negeri dan wilayah selain memberi pengiktirafan kepada empat universiti awam sebagai pusat satelit ISN.