Jurulatih hoki negara, Sarjit Singh, kecewa dengan keputusan Glasgow untuk menggugurkan hoki dalam Sukan Komanwel 2026.

Keputusan itu menyebabkan mereka kehilangan beberapa perlawanan penting termasuk menentang pasukan handalan seperti India, Australia dan England.

"Apabila tiada sukan hoki dalam Sukan Komanwel, ia amat mengecewakan dan ia memaksa pasukan kehilangan lima ke enam perlawanan di peringkat antarabangsa," katanya.

Kehampaan sama turut diluahkan rata-rata pemain negara, apatah lagi mereka tidak mengambil bahagian di Birmingham dua tahun lalu kerana memberikan fokus untuk Sukan Asia Hangzhou.

"Agak terkejut, ia merupakan acara penting bagi sukan hoki. Kami telah terlepas saingan terdahulu dan ia amat mengecewakan," kata penyerang hoki negara, Faizal Saari.

Tambah kapten hoki negara, Marhan Jalil: "Sebagai pemain, apabila tiada sukan hoki dalam Sukan Komanwel, amat merugikan kerana ia merupakan acara yang besar."