Hari tiga Kejuaraan Bola Jaring Asia 2024 menyaksikan skuad negara memulakan kempen dengan langkah kanan dalam perlawanan pertama selepas cemerlang membelasah Maldives dalam perlawanan Kumpulan A.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Koramangala, India, melihat kem negara enggan memberi muka kepada pihak lawan selepas memungut mata berturut-turut untuk jurang perbezaan 10 mata dalam suku yang pertama, secara tidak langsung meletakkan Malaysia di kedudukan selesa 19-9.

Skuad Maldives dilihat enggan berputus asa tetapi kem negara terus memberi tentangan hebat di atas gelanggang bagi menamatkan suku kedua 32-17.

Skuad kendalian Choo Kon Lee itu terus mempamerkan dominasi ke atas Maldives, dan situasi itu meranapkan impian lawan untuk sebarang usaha kemunculan semula dalam baki perlawanan apabila Malaysia meluaskan lagi jurang mata dalam suku yang ketiga.

Wisel yang terakhir dibunyikan dengan skuad Malaysia menoktahkan perlawanan dengan 64-28, sekali gus melaungkan amaran kepada pencabar Kumpulan A lain yang turut dibarisi juara enam kali, Sri Lanka.