Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, yakin kontinjen negara mampu memulakan misi pemburuan 27 pingat dalam Sukan Asia Hangzhou dengan langkah kanan.

Ini berdasarkan semangat juang tinggi yang dipamerkan barisan atlet negara untuk memulakan cabaran masing-masing dalam temasya terbesar Asia itu.

Wushu dijangka menjadi penyumbang pingat pertama Malaysia menerusi Wong Weng Son dalam acara Changquan esok.

Selain wushu, menembak dan e-sukan turut mnenjadi harapan negara dalam memburu pemulaan positif di bumi China.

"Keadaan di Hangzhou ini, ia merupakan bandar yang bijak, ia bandar dengan kecerdasan buatan (AI), ia satu gambaran kondusif bahawa kita berada di sebuah bandar futuristik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, di Pusat Media Utama, Hangzhou.

"Ini akan memberikan atlet-atlet kita satu semangat dengan berada dalam satu keadaan yang amat kondusif -- tiada sebarang isu besar, semua fasiliti adalah kelas pertama.

"Dan saya berharap dengan mentaliti kelas pertama, dengan semangat kelas pertama, dengan perasaan sayang kepada negara, kita akan berjuang dengan bersungguh-sungguh atas nama Malaysia," katanya.