Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, memilih untuk berahsia mengenai jumlah sebenar ganjaran yang dijanjikan kepada pemain negara seandainya dapat membawa pulang Piala Thomas ke bumi Malaysia.

Tegasnya, apa yang paling utama adalah kemampuan pemain untuk tidak lagi berpegang kepada sejarah lampau dan lebih bernafsu untuk mencipta sejarah baru dalam kejohanan di Chengdu China itu bermula hujung minggu ini.

Norza memasang impian untuk melihat pemain negara menjulang Piala Thomas dan memenangi pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum melepaskan jawatannya sebagai presiden badan induk badminton negara itu.

"Kita berada dalam keadaan yang selesa untuk memberi insentif sekiranya mereka berjaya," katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

"Ia bukannya kerana kami kekurangan dana dan terdesak mencari dana lain.

"Seperti yang saya katakan, tugas saya sebagai presiden akan tamat selepas Sukan Olimpik jadi saya sedang berusaha bersama BAM untuk peralihannya.

"Jadi, ia akan menjadi Piala Thomas dan Sukan Olimpik terakhir buat saya (sebagai presiden BAM)," katanya.