Skuad badminton negara menjana dua pingat emas buat kontinjen negara pada hari keenam Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Negeri Malang hari ini.

Pingat emas pertama skuad kendalian Datuk Rashid Sidek itu disumbangkan beregu lelaki, Wong Tien Ci-Liew Xun, yang menewaskan gandingan Indonesia, Elgiffani Muhammad Juan-Purnama Reza Dwicahya.

Set pertama Tien Ci-Liew Xun, yang juga pilihan kedua, tampil mengasak hebat Elgiffani-Purnama untuk menang 21-19.

Set kedua, Tien Ci-Liew Xun meningkatkan intensiti permainan untuk meninggalkan pilihan pertama kejuaraan itu dengan kemenangan 21-10.

Emas kedua negara dibutirkan beregu campuran negara, Wee Yee Hern-Ng Qi Xuan, yang menyingkirkan cabaran Elgiffani-Jovita Elizabeth dari Indonesia.

Bagaimanapun, pilihan kedua kejuaraan itu tunduk 17-21 kepada lawan sebelum bangkit dalam set kedua, 21-17 dan kemudian mematikan rentak wakil tuan rumah itu dengan kemenangan 21-11.

Bagaimanapun, hasrat pemain perseorangan lelaki, Hooi Shao Herng, untuk menambah koleksi emas negara tersekat selepas tewas kepada wakil Thailand, Pusri Nachakorn.

Shao Herng berstatus pilihan kedua dibarakan tentangan hebat Pusri, pilihan pertama kejohanan, 21-10, 21-11.

Misi beregu wanita negara, Siow Valeree Zi Xuan-Lee Xin Jie, untuk menjulang kejuaraan juga berakhir selepas tewas pertarungan menentang Atitaya Povanon-Chasinee Korepap, 12-21,13-21.

Mengulas prestasi diperagakan anak buahnya dalam edisi ke-21 itu, Rashid berkata: "Alhamdulillah, kami telah cuba yang terbaik dan inilah keputusannya.

"Kami memperoleh dua emas, dua perak dan satu gangsa pada pada hari terakhir, dengan keseluruhan jumlah pungutan pingat sepanjang kejuaraan dua emas, tiga perak dan dua gangsa.

"Pemain-pemain telah memberikan komitmen dan semangat juang tinggi untuk AUG 2024 kali ini. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendoakn kejayaan kami. Kami akan terus berjuang dan memberikan keputusan lebih baik dalam edisi seterusnya."

--Sinar Harian