Perancangan pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo Badminton (SU5), Cheah Liek Hou, untuk terbang ke Eropah bagi menjalani kem latihan tidak menjadi kenyataan ekoran beberapa masalah yang tidak boleh dielakkan, antaranya kerana kekurangan rakan sepelatih.

Pun begitu, jurulatihnya, Nova Armada, sudah merencanakan program "mini paralimpik" bagi memberi gambaran terkini, prestasi Liek Hou bertemu jaguh dunia yang hadir di ibu kota.

Kehadiran pemain handalan dunia secara tidak langsung mampu membuka ruang buat mereka menilai, menganalisa kekuatan dan kelemahan Liek Hou secara terperinci, namun Nova Armada menyangkal dakwaan itu sambil menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan anak buahnya.

"Ada pemain dari India, Kazakhstan, Sri Lanka dan Russia, maka esok kami akan berlatih bersama-sama. Banyak pemain berlatih di tempat saya, jadi ia bagus untuk Cheah Liek Hou.

"Saya tidak risau kerana Liek Hou mempunyai teknik yang bagus, dia mempunyai strategi dan mempunyai perancangan sendiri dalam gelanggang.

"Disiplin dia juga bagus semasa latihan, itu yang memudahkan kerana mempunyai kemahuan serta mempunyai teknik yang baik." katanya kepada Nadi Arena.