Cinta Christian Eriksen terhadap bola sepak menawarkan kegembiraan buat Kasper Hjulmand yang percaya Denmark perlu bersiap sedia untuk memenangi Piala Dunia.

Eriksen mengalami serangan jantung dalam perlawanan pertama Euro 2020 ketika Denmark bertemu Finland di Copenhagen tahun lalu.

Pemain Denmark melindungi rakan sepasukan mereka itu daripada pandangan orang ramai dan kamera ketika Eriksen sedang menerima rawatan perubatan kecemasan.

Pemain tengah itu pulih dan enam bulan kemudian kembali beraksi dengan menyertai Brentford memandangkan kancah Serie A tidak membenarkan mana-mana pemain daripada beraksi sekiranya memasang peranti jantung.

Eriksen mempamerkan prestasi hebat bersama The Bees sebelum berpindah ke Manchester United dan mendapat kepercayaan membarisi kesebelasan utama musim ini, secara tidak langsung dijangka sekali lagi membantu Denmark untuk melangkah lebih jauh dalam Piala Dunia Qatar.

“Sebelum Euro, sebelum segala-galanya berlaku ke atas Christian, saya pernah mengatakan bahawa dia adalah jantung dan denyutan nadi pasukan ini,” kata Hjulmand dalam sidang media menjelang rintang pertama bertemu Tunisia, malam esok.




"Apabila beraksi, dia mempunyai cara yang hebat untuk mengatur rentak permainan, berasa dan mengawal permainan dengan hantaran, kecerdasan, visinya termasuk etika kerjanya.

"Bagus untuk mendapatkan khidmat Christian semula. Dia seorang pemain yang hebat tetapi merupakan insan yang lebih baik di dalam mahupun di luar padang. Sumbangannya begitu besar buat kami.

“Saya masih ingat ketika dia kembali pada Mac lalu, pada minit pertama dia menjaringkan gol ke atas Belanda di Amsterdam. Selepas itu dia kembali kepada prestasi asal.

"Memang seronok untuk bekerja dengan Christian, setiap hari anda perlu mengheretnya meninggalkan padang. Dia gemar beraksi. Kecintaannya terhadap sukan ini adalah perkara yang paling penting bagi Christian."