Pemain Manchester United perlu membuktikan mereka layak untuk menjulang trofi di bawah bimbingan Erik ten Hag, kata pemain tengah pasukan itu, Christan Eriksen.

The Red Devils menewaskan Burnley 2-0 untuk layak ke suku akhir Piala EFL kelmarin, di mana mereka seterusnya akan bertemu pasukan Divisyen 3, Charlton Athletic, dalam saingan itu.

Pasukan kendalian Ten Hag itu juga masih bersaingan dalam Liga Europa (UEL) dan akan bertemu Barcelona dalam perlawanan playoff pusingan kalah mati selain akan memulakan kempen Piala FA dengan menentang Everton bulan depan.

Dengan tidak memenangi kejuaraan sejak menjulang trofi UEL musim 2016-17, Eriksen mengakui United bukan berada di posisi mereka boleh memilih kejohanan.

"Sudah bertahun-tahun sejak kali terakhir kami memenangi trofi," kata Eriksen, yang tiba di United secara ejen bebas pada Julai lalu, kepada talkSPORT.

"Dari di mana kedudukan kelab ini sehinga di mana kami berada ketika ini, sasarannya adalah untuk fokus kepada setiap kejohanan dan melihat di mana kedudukan kami pada akhirnya.

"Ia masih tidak ditentukan kami harus memenangi perlawanan ini atau perlawanan itu -- kesemua pemain hanya mahu menang sebanyak mungkin.

"Tetapi untuk menuju ke arah itu, kami perlu membuktikan yang kami layak untuk berada di sana. Ia mengenai kesemua kejohanan.

"Seperti yang anda dapat lihat ketika kami menentang Burnley, Piala EFL juga penting buat kami," katanya.