Christian Eriksen mungkin membuat penampilan pertamanya di Manchester United sejak Januari lalu ketika menerima kunjungan Everton, malam esok.

Perkembangan itu disahkan pengurus The Red Devils, Erik ten Hag, selepas Eriksen terpaksa direhatkan sejak kemenangan Piala FA ke atas Reading berikutan dilanda masalah buku lali.

United pada mulanya mengharungi ketiadaan pemain tengah itu dengan baik yang menyaksikan mereka menjulang Piala Liga Inggeris (EFL) pada bulan berikutnya, namun anak buah Ten Hag berkenaan mula mengalami kemerosotan apabila kemarau kemenangan dalam tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum menewaskan Brentford 1-0, semalam.

Ditanya adakah Eriksen mungkin kembali ketika mereka berdepan Everton, Ten Hag memberitahu Viaplay di Denmark: "Kita akan lihat kelak.



"Kami memantaunya dari hari ke hari.

"Dia menunjukkan kemajuan. Dia baru kembali dalam sesi latihan pasukan pada minggu ini.

"Kami mengadakan dua sesi. Selepas itu, kami akan memutuskan sama ada dia boleh kembali dalam skuad semula."

United telah memenangi 63.2 peratus aksi EPL musim ini ketika menampilkan Eriksen (12 daripada 19 perlawanan) berbanding 44.4 peratus tanpa kelibatnya (empat daripada sembilan perlawanan).