Christian Eriksen akan berehat selama tiga bulan selepas mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan Piala FA menentang Reading hujung minggu lalu, demikian disahkan pasukannya, Manchester United.

Eriksen mengalami kecederaan itu selepas menerima terjahan keras daripada Andy Carrol dalam babak kedua, di mana penyerang Reading itu pula tidak dilayangkan sebarang kad.

Carrol kemudian diarahkan keluar padang selepas melakukan dua lagi terjahan gegabah.

Selepas insiden itu, Eriksen masih dapat beraksi buat beberapa ketika tetapi dua kemudian dikeluarkan dan di lihat meninggalkan Old Trafford dengan bertongkat dan pelindung kaki di buku lali kirinya.

Pengurus United, Erik ten Hag, pada awalnya tidak gusar dengan kecederaan itu tetapi selepas Eriksen menjalani pemeriksaan, kelab itu percaya pemain tengah berkenaan mengalami kecederaan serius dan akan diketepikan sehingga Mei depan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan kelab itu berkata: "Pemain tengah Manchester United, Christian Eriksen, dijangka akan berehat untuk jangka panjang gara-gara kecederaan buku lali yang dialaminya dalam kemenangan perlawanan Piala FA ke atas Reading pada Sabtu lalu.

"Ketika pemeriksaan masih terus dijalankan, keputusan awal menunjukkan bahawa Eriksen berkemungkinan akan berehat sehingga penghujung April atau awal Mei depan."