Christian Eriksen menjangkakan Menchester United dapat berjuang sehingga ke penghujung musim ini biarpun sedang melalui jadual padat yang luar biasa.

Pemain kebangsaan Denmark itu, yang baru pulih daripada kecederaan buku lali, kembali melakukan penampilan sejak Januari lalu sewaktu United menewaskan Nottingham Forest 2-0 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi semalam.

Selepas bertindak selaku pemain gantian ketika menentang Everton dan Sevilla beberapa hari lalu, Eriksen kini kembali memperkuatkan kesebelasan utama United dalam usaha merebut gelaran Piala FA dan Piala Europa (UEL) musim ini.

Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa pasukan bimbingan Erik ten Hag itu tidak akan mengabaikan saingan liga, di mana mereka menyasarkan untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.

"Setiap perlawanan kini sehingga ke penghujung musim ini akan menjadi amat penting," katanya kepada MUTV.

"Ada yang akan ke belakang dan ada yang akan ke depan.

"Jadi, jika kita kekal berada di depan seperti ketika ini, kita akan berada di posisi yang amat-amat baik dan mengesahkan tempat ke UCL sebelum musim ini berakhir," katanya.

United seakan-akan sudah keluar daripada prestasi merudum mereka selepas memenangi Piala EFL walaupun dibolosi dua gol pada lewat permainan sewaktu terikat dengan Sevilla dalam suku akhir pertama UEL awal pagi Jumaat lalu.

Kemenangan terbaru ke atas Forest itu -- tanpa sebahagian besar pemain tonggak dalam kesebelasan utama -- membuatkan Eriksen berasakan United kini memiliki skuad yang lebih ampuh dengan perkembangan yang mereka lalui sepanjang beberapa bulan lalu.

"Mereka membuatkan saya kagum. Mereka mengekalkan keamatan, mereka mengekalkan tahap kami berdasarkan cara permainan mereka.

"Perlawanan ini, segala-galanya, termasuk pandangan dari luar, semuanya kelihatan baik.

"Jika anda mengambil kira bagaimana kami memulakan musim ini, ia sememangnya suasana yang berbeza dalam kelab ini dan juga di atas padang.

"Suasana sesama pemain amat bagus," katanya lagi.