Wilfried Zaha tidak akan berehat sehingga akhir musim ini tetapi pengendali Crystal Palace, Roy Hodgson, menjangkakan pemain sayap itu akan diketepikan selama sebulan.

Zaha mengalami kecederaan lutut ketika seri 1-1 dengan Newcastle United, Ahad lalu, sekali gus menyertai barisan pemain lain yang terpaksa dilupakan khidmat mereka seperti Bakary Sako, Jason Puncheon, Julian Speroni, Connor Wickham, Martin Kelly dan Scott Dann.

Ruben Loftus-Cheek pula terpaksa dihantar semula ke Chelsea bagi menjalani proses pemulihan akibat kecederaan buku lali, membuatkan Hodgson sangat kecewa dengan senario yang berlaku.

"Jika Zaha dapat pulih dalam masa seminggu atau dua minggu, ia pasti hebat tetapi secara realistik, kami harus menunggu selama sebulan.

"Apa yang menggembirakan kami adalah dia seorang yang sangat kuat dan seluruh pihak perubatan pasukan bekerja keras untuk memastikannya segera beraksi semula. Yang pasti, dia tidak akan beraksi menentang Everton esok.

"Dalam masa sama, saya ingin menafikan bahawa Zaha terpaksa dilupakan sehingga akhir musim ini," kata Hodgson.

Palace hanya tewas dua kali dalam saingan liga sejak November lalu, kedua-duanya di tangan Arsenal, namun mampu keluar daripada zon penyingkiran.

"Secara terus-terang, saya tidak ingat bila kali terakhir saya berdepan masalah kecederaan yang sebegini banyak.

"Kami tidak begitu bernasib baik dengan isu kecederaan tetapi semua pemain berjuang untuk mendapatkan keputusan positif. Kami tidak memberikan alasan," tambahnya.