Manchester United mengumumkan Lisandro Martinez akan disisihkan dalam tempoh yang panjang ekoran kecederaan kaki berulang yang dialami pemain itu sejak akhir musim lalu.

Pertahanan Argentina itu mengalami retak tulang metatarsal dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Europa (UEL) menentang Sevilla pada April lalu, yang menyebabkan dia tidak dapat bermain selama dua bulan.

Kelab itu berkata: “Lisandro Martinez akan diketepikan untuk tempoh yang panjang kerana kecederaan kaki yang dialaminya pada April lalu.

“Pemain pertahanan Argentina itu mengalami kemerosotan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal awal bulan ini.

“Martinez masih meneruskan permainan untuk dua perlawanan berikutnya menentang Brighton dan Bayern Munich.

“Tetapi kini, dia memerlukan tempoh yang panjang untuk sesi pemulihan. Penilaian sedang dijalankan untuk merangka langkah seterusnya.”

United juga mengalami beberapa masalah kecederaan lain yang perlu ditangani dan turut mengesahkan Sergio Reguilon antara pemain yang tidak akan diturunkan menentang Crystal Palace malam ini.