Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh, dalam dilema untuk menamakan senarai akhir 18 pemain yang akan menggalas misi mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah, bermula 4 Mei depan di Ipoh, Perak.

Sarjit kini menerima perkhabaran positif selepas pasukan Pakistan menjadi pasukan kedua bersetuju untuk aksi persahabatan sebelum saingan Piala Sultan Azlan Shah bermula.

Sebelum ini, New Zealand, pasukan berstatus olimpik bersetuju dengan pelawaan Sarjit, sebagai pentas persediaan dan akan menamakan skuad akhirnya selepas selesai dua aksi persahabatan ini.

Dalam pada itu, antara pemain yang sedia membalas kepercayaan Sarjit untuk berada dalam skuad akhir ialah, Nur Rahull Hrsikesa yang komited mengekalkan sentuhan penyudahnya selepas meledak 18 gol dalam saingan Liga Hoki Malaysia bersama Nurinsafi.

Namun, halangan terbesar Nur Rahull ialah berdasarkan tahap kecergasan permainan antarabangsanya yang kurang memuaskan, akan tetapi penyerang berusia 26 tahun itu enggan terlepas impiannya menyarung jersi kebangsaan.