Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan bagi menggantikan Datuk Mirnawan Nawawi yang meninggalkan jawatan itu Januari lalu.

Berasakan Ahmad Najmi sebagai calon terbaik untuk menggalas tanggungjawab tersebut, Presiden KHM, Datuk Subahan Kamal, berkongsi semua pihak bersetuju dengan pelantikan itu termasuk jawatankuasa kejurulatihan.

"Kepimpinan KHM telah membuat keputusan untuk melantik Ahmad Najmi kerana selaku pengurus pasukan, dia orang yang paling layak dan bertanggungjawab ke atas pasukan," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.

Dalam sesi latihan terakhir pasukan hoki kebangsaan semalam, ketua jurulatih The Speedy Tigers, Sarjit Singh, mengesahkan semua pemain berada dalam keadaan baik dengan hanya seorang berdepan kecederaan hamstring kanan.

Dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri dua minggu mendatang, Sarjit menjelaskan pemain tetap menjalani program latihan sepanjang cuti sembilan hari bersama keluarga.

"Azrai Aizad Abu Kamal mengalami sedikit masalah hamstring di bahagian kaki kanan.

"Kami hanya membenarkannya menjalani latihan ringan," kata Sarjit.

Dalam pada itu, jurulatih penjaga gol, S Kumar, menegaskan latihan terakhir itu dijalankan dengan lebih teliti malah fokus diberikan kepada aspek ketahanan mental.

Dia komited melihat sejauh mana keupayaan penjaga gol untuk menggagalkan percubaan berbahaya dan pantas daripada pemain lawan.

"Penjaga gol pada hari ini kena kerja lebih kuat berbanding dahulu dan individu lain dalam pasukan ini.

"Konsisten sangat penting untuk mengisi posisi ini dalam jangka masa panjang," katanya pula.