Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, dilantik sebagai pengurus Speedy Tigers bagi menggantikan Datuk Mirnawan Nawawi.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata Ahmad Najmi merupakan calon yang sesuai untuk memegang jawatan tersebut.

“Saya sudah berbincang perkara ini dengan (pengerusi jawatankuasa kejurulatihan) Datuk Majid Manjit Abdullah dan Ahmad Najmi. Semua pihak bersetuju melantik beliau sebagai pengurus pasukan kebangsaan yang baru.

“Biarpun dia pengerusi jawatankuasa pasukan kebangsaan, kami percaya dia adalah orang yang sesuai untuk tugas ini.

“Beliau sangat mesra dengan pasukan dan kami telah memutuskan bahawa dia akan mula sebagai pengurus berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Beliau ditemui media dalam majlis berbuka puasa KHM bersama media di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Mirnawan dilantik sebagai pengurus pasukan pada 2020 dan meninggalkan jawatan itu pada Januari lalu selepas kontraknya tamat.

Kontrak Olympian itu tidak diperbaharui berikutan keputusan untuk membubarkan skuad kebangsaan oleh KHM susulan kegagalan Speedy Tigers layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.


-- Sinar Harian