Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais, memaklumkan bahawa pihaknya sudah melunaskan bayaran tiga bulan tunggakan gaji kepada barisan pemain dan pegawai pasukan.

Ketika ditanya mengenai baki sebulan lagi tunggakan yang masih belum dibayar, Posa menjelaskan pengurusan Sarawak United perlu meneliti terlebih dahulu beberapa faktor; antaranya wang pendahuluan yang diambil sebahagian pemain termasuk membabitkan pembayaran bulanan kenderaan dan rumah.




"Sarawak United dah bayar gaji penuh selama tiga bulan.

"Kenapa kami tidak bayar (baki) gaji lagi sebulan itu kerana yang pertama, ramai pemain ambil duit pendahuluan daripada majikan.

"Yang kedua (tentang) rumah sewa yang perlu dibayar oleh pemain-pemain. Tapi keadaan masa itu Sarawak United yang bayar pendahuluan.

"Ketiga, kereta sewa yang mereka gunakan atas nama pasukan Sarawak United.

"Kami sebagai penjamin kereta sewa, rumah sewa dan wang pendahuluan ini. Sebab itu kami tahan gaji sebulan itu dulu buat sementara waktu," katanya ketika dihubungi Nadi Arena hari ini.

Dalam masa sama, Posa mengharapkan isu tunggakan tidak lagi membelenggu kelab itu.

"Insya-Allah kami usahakan dalam masa terdekat dan pada masa sama kami cuba selesaikan semua ini sebelum tempoh pertandingan berakhir," katanya.


Sehubungan itu, slot kelab Borneo berkenaan dalam Piala Malaysia hampir pasti tidak terjejas selepas menjelaskan tunggakan tersebut sehari sebelum tarikh akhir yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).