Johor Darul Ta'zim (JDT) II bergelar juara saingan Liga Perdana selepas mengatasi Selangor FC II 1-0 di Stadium UiTM, sebentar tadi.

JDT II menutup saingan Liga Perdana musim dengan dengan 42 mata, terhasil menerusi 13 kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan. Mereka turut telah menghasilkan 38 gol dan hanya dibolosi 13 kali sepanjang saingan 18 perlawanan.

Tiada jaringan berjaya dihasilkan dalam separuh masa pertama selepas kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan yang seimbang, enam percubaan di separuh masa pertama daripada JDT II gagal diterjemah kepada jaringan.

Jaringan pembukaan akhirnya hadir pada minit ke-49 apabila hantaran silang Daniel Ting terhasil berjaya ditanduk masuk oleh Daryl Sham.

Tiada jaringan tambahan yang terhasil membenarkan JDT II menamatkan musim yang indah dengan kemenangan sekaligus merangkul kejuaraan Liga Perdana.

Lebih manis, ia adalah Liga Perdana terakhir sebelum saingan itu ditangguhkan selepas penstruktur baharu Liga Malaysia (Liga M) musim depan yang menyaksikan hanya Liga Super akan dipertandingkan.

Malah, trofi Liga Perdana itu menambahkan lagi seri dalam musim gemilang Harimau Selatan selepas skuad utama mereka menjuarai Piala FA dan bakal dinobatkan juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.

Kelantan FC menamatkan saingan di tempat kedua selepas mengutip 37 mata.