Dinobat juara Liga Perdana bersama Johor Darul Ta'zim II (JDT II) bukan sahaja menjadi satu memori indah kepada penyerang muda, Daryl Sham malah lebih bermakna dia muncul penjaring terbanyak Liga Perdana bagi kategori pemain tempatan.

Menurut Daryl, dia tidak sama sekali menyangka musim ini menjadi detik terbaik dalam kariernya ketika berasakan masih banyak lagi perkara perlu dipelajari selaku pemain muda.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting buat Daryl ialah jaringan-jaringannya itu membantu kejuaraan buat pasukan malah semangat berpasukan yang tinggi turut membantu kepada kejayaan JDT II merangkul gelaran Liga Premier buat pertama kali sejak musim 2014.

"Saya sangat gembira kerana Liga Perdana ini merupakan kejuaraan pertama saya di peringkat senior dan memenanginya, satu pencapaian yang sangat bermakna dalam kerjaya.

"Tambahan musim ini saya telah berjaya menjaringkan sembilan gol (penjaring terbanyak bagi pemain tempatan Liga Perdana), ini juga satu kejayaan yang tidak disangka-sangka dan sangat besar kerana saya ini pemain muda yang baru hendak belajar.

"Namun, apa lebih penting adalah kejuaraan yang kita menangi ini sebenarnya merupakan kerjasama semua pemain dari awal musim lagi dan tidak pernah cepat putus asa.

" Untuk musim depan, saya harap boleh lagi menyinar dengan pasukan serta mendapatkan minit permainan yang banyak," katanya.

Daryl berkongsi kedudukan dengan penyerang Kelantan, Nurshamil Abdul Ghani bagi penjaring tempatan terbanyak Liga Perdana apabila masing-masing menjaringkan sembilan gol.