Pemilik Perak, Datuk Seri Azim Zabidi, menjamin kelibat ketua jurulatih, Yusri Che Lah, akan tetap ditagih sekalipun satu pengumuman penting akan dibuat pasukan itu esok.

Tiga nama besar dikaitkan untuk memacu kelab Liga Perdana itu yang terdiri daripada bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal, Tan Cheng Hoe, selain bekas Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim.

Begitupun, khidmat Yusri disifatkan sebagai satu aset oleh The Bos Gaurus.

"Insya-Allah dia masih ada tempat dalam Perak FC. Kami tidak akan lepaskannya begitu sahaja kerana dia telah berjasa dengan Perak khususnya ketika tempoh gelap dengan masalah gaji.

"Dia masih bertungkus-lumus mempersiapkan pasukan, kalah menang itu perkara kedua.

"Yang penting dia masih di situ (tidak angkat kaki)," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.





Tambahnya, pengumuman itu membabitkan hampir keseluruhan pasukan dan teka-teki itu hanya akan terjawab dalam satu pengumuman.

"Perancangan kami meliputi pertukaran barisan kejurulatihan dan pemain-pemain.

"Kami telah pun melihat keperluan daripada pemain-pemain di barisan depan, tengah dan belakang.

"Saya tiada apa komen tentang perkara ini. Esok saya akan sebarkan dan huraikan dengan lebih terperinci tentang pertukaran ini," katanya lagi.