Skuad Projek FAM-MSN tampak akan dibubarkan selepas tiga tahun mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Difahamkan, pemain daripada skuad pelapis negara itu sudah diarahkan untuk mencari pasukan baru menjelang musim baru liga.

Kedudukan pengendalinya, Noor Zaidi Rohmat, pula akan ditentukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kemudian untuk sama ada kekal dalam perancangan badan induk itu atau sebaliknya.

Tatkala, badan induk itu pada hari ini mengumumkan jurulatih B-23 negara, Juan Torres Garrido, dilantik sebagai jurulatih B-20, sekali gus memegang dua jawatan dalam satu masa.



"Setakat ini untuk pasukan kebangsaan belum ada pengesahan, skuad B-19 dan B-20 akan berada di bawah barisan kejurulatihan yang diketuai Juan Torres Garrido," kata Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-10 di Wisma FAM, Kelana Jaya.